Thursday, September 14, 2006

 

Melabur Dalam Amanah Saham : Wajarkah Meminjam?

Salam sejahtera.

Pagi tadi saya menerima ‘brochure’ dari sebuah bank terkemuka tempatan yang menawarkan skim pembiayaan bagi melabur dalam sebuah dana amanah saham berharga tetap.

Tambah menarik, skim pembiayaan tersebut menawarkan perlindungan insurans bagi baki pinjaman yang belum dijelaskan. Mereka mengatakannya sebagai ‘sambil menyelam minum air’. Nampak bagus!.

Bagaimana pun saya ingin bertanya, dalam air yang bagaimanakah kita menyelam dan apakah jenis air yang kita diberi minum? Kalau air Zam-Zam teringin juga!!

Berbalik kepada pembiayaan tersebut. Pembayaran balik bulanan berdasarkan KPA -0.10% ( 6.65% dengan KPA semasa 6.75%).

Adakah KPA -0.10% berterusan sehingga tempoh (tahun) pembiayaan tamat ? Berdasarkan pengamatan saya terhadap pakej sebelum ini, bank yang sama mengenakan KPA +0.1% pada setiap tahun sehingga tamat tempoh pembayaran balik.

Wajarkah kita meminjam bagi tujuan melabur dalam amanah saham? Tiada jawapan yang tepat. Ianya bergantung kepada diri sendiri. Apakah yang kita mahu? Apakah objektif kita melabur? Siapakah kita sebagai pelabur?

Minima pembiayaan yang ditawarkan ialah RM 30,000 dan maksima RM 200,000.00. Tempoh bayaran balik ialah dari 5 tahun hingga ke 20 tahun.

Saya ingin mengambil contoh pembiayaan berjumlah RM 50,000.00 dan bayaran balik selama 20 tahun:

Jumlah pinjaman : RM 50,000.00

Tempoh bayaran balik : 20 tahun (240 bulan)

Bayaran balik sebulan : RM 377.22

Jumlah bayaran balik : RM 90532.80
(240 bulan)

Berapakah nilai pelaburan anda pada tahun ke 20?

Saya mengandaikan dana amanah saham tersebut memberikan purata pulangan sebanyak 10% (compounded interest) :

Maka nilai pelaburan RM 50,000.00 : RM 336,375.00
( 10 % setahun )

Bayaran balik (RM 377.22 @240 bulan) : RM 90,532.80

Keuntungan bersih : RM 245,842.20


Berapakah keuntungannya jika kita melabur dalam amanah saham tanpa meminjam?

Berdasarkan kepada bayaran balik di atas iaitu RM 377.22 dan purata pulangan 10% setahun;

Jumlah pelaburan setiap bulan : RM 377.22

Tempoh pelaburan : 20 tahun (240 bulan)

Jumlah pelaburan (pokok) : RM 90,532.20
(240 bulan)

Nilai pelaburan pada tahun ke 20: RM 273,102.27
( purata 10% setahun )

Perbezaan:

Nilai pelaburan bulanan : RM 273,102.27
(RM 377.22 sebulan/240 bulan)

Nilai pelaburan RM 50,000 : RM 245,842.20
(tolak bayaran balik pinjaman)

beza : RM 27,260.07


Mana satukah untung? Melabur melalui pinjaman atau melabur secara tetap setiap bulan?

Lihat kepada diri kita. Kemampuan kita. Disiplin diri kita.

Jika kita boleh membuat bayaran balik RM 377.22 setiap bulan selama 240 kali ke dalam akaun bayaran balik pinjaman bank tidakkah lebih baik kita masukkan terus
RM 377.22 ke dalam akaun pelaburan amanah saham kita?

Tidak perlu bersusah payah.

Masih bank yang sama.

Masih kaunter bank yang sama.

Tetap 240 kali kita pergi ke bank yang sama.

CUMA: masukkan dalam akaun amanah saham BUKAN akaun bayaran balik pinjaman

Tidakkah anda mahu untung RM 27,260.07 hanya dengan menyimpan duit melalui penggunaan slip yang berlainan? Daripada slip bayaran pinjaman kepada slip pelaburan tambahan. Kedua-dua slip ini ada didepan anda bila anda berada di bank. Pilihlah!!

Tiada modal diperlukan. Slip bayaran pinjaman disediakan. Slip penambahan pelaburan pun disediakan. Malah pen pun disediakan oleh pihak bank !!

CUMA: Gunakan kebijaksanaan anda!!!. Berfikir tidak dikenakan bayaran. Percuma.

UNTUNG: RM 27,260.07 !!!

Bagaimana pula dengan perlindungan insuran bagi baki pinjaman tidak berbayar?

Bagi saya tiada faedah pun!!! Saya akan menulis perkara ini kemudian.

Dah ngantuk!!

Terima kasih.

Wednesday, September 06, 2006

 

Sejarah berulang!!

Salam sejahtera.

Berikutan sambutan yang menggalakkan daripada pelabur, satu billion unit tambahan ASW2020 dibuka untuk jualan pada 1 Sept 2006 oleh PNB. Dengan rekod pulangan yang konsisten, unit-unit amanah PNB sentiasa mendapat sambutan hangat daripada pelabur-pelabur.

Berita Harian 2 Sept 2006, melaporkan 49% daripada 1 billion unit tersebut habis dilanggan dalam masa 27 minit sahaja!!!.

Menurut satu kenyataan PNB di Kuala Lumpur, “49% unit baru ASW2020 yang diperuntukkan khas kepada bukan bumiputera habis dilanggan pada pukul 9.57 pagi, sebaik sahaja kaunter dibuka pada 9.30 pagi”

Satu rekod baru !! Tahun lepas bukan bumiputera mengambil masa 2 jam untuk melanggan habis semua unit amanah yang diperuntukkan kepada mereka.

Maknanya: 51% unit baru ASW2020 yang diperuntukkan kepada bumiputera masih boleh dibeli pada bila-bila masa. Tidak perlu berkejar. Atur langkah dengan sebaiknya, berlengganglah dengan bergaya - unit amanah ASW2020 sedia menunggu untuk dilamar! Tidak perlu gopoh-gapah!

Seorang pembaca bukan bumiputera menulis dalam The Star 4 Sept 2006, melahirkan kekecewaannya kerana gagal melabur. Pelabur ini bersama-sama ratusan pelabur telah mula berbaris seawal pukul 4.00 pagi lagi di pejabat PNB Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Apakah sebabnya sehingga membuat mereka ini sanggup berbaris dari pukul 4.00 pagi hanya kerana ingin melabur? Hanya kerana ingin menyimpan wang? Penting sangatkah menyimpan wang? Apakah ini kegilaan bentuk baru era digital?

Bertuahnya hidup di Bumi Melayu ini – saya tidak perlu berbaris untuk menyimpan wang. Saya tidak perlu bangun seawal 4.00 pagi hanya kerana ingin melabur! Simpati saya kepada rakan bukan bumiputera!!

Sedikit sahaja yang saya kesalkan: Saya masih perlu berbaris, berasak-asak di JOM HEBOH !!! DIKONSERT HIBURAN!!!

Apakah perbezaannya?

Sunday, September 03, 2006

 

Ringkasan Belanjawan 2007

Salam sejahtera. Belanjawan 2007 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri pada
1 September 2006.

Kerajaan mengunjurkan ekonomi negara berkembang pada kadar 5.8%. Pertumbuhan ini diterajui oleh sektor perkhidmatan, pembuatan dan diikuti oleh sektor pertanian.

Indek harga pengguna (IHP) pula meningkat kepada 4.8 peratus pada Mac 2006, tertinggi sejak tujuh tahun, berikutan kenaikan 30% harga runcit petrol pada 28 Februari 2006.

Secara amnya, dengan peningkatan kadar inflasi bermakna kuasa belian pembeli akan berkurangan. Nilai ringgit akan menjadi rendah. Pembeli terpaksa membayar pada harga yang lebih tinggi bagi mendapatkan barangan yang diperlukan.

Dalam terma pelaburan, peningkatan kadar inflasi akan menyebabkan margin keuntungan akan menjadi kecil, tiada pulangan atau pulangan menjadi negatif.

Pelabur yang bijak akan mengambil kira peningkatan kadar inflasi dalam merangka strategi pelaburan mereka. Mempelbagaikan pelaburan kepada beberapa kelas asset merupakan strategi terbaik bagi memaksimun pulangan daripada pelaburan yang dibuat.

Dalam unit amanah, pelaburan dalam ekuiti merupakan kelas asset terbaik untuk mengekang kenaikan inflasi. Sejarah menunjukkan, pelaburan dalam ekuiti memberikan purata pulangan sebanyak 8 -15% setahun.

Oleh sebab itu, sejak sekian lama ekuiti sentiasa menjadi pilihan pelabur yang ingin membina kewangan yang kukuh!!!!

This page is powered by Blogger. Isn't yours?